KUALA LUMPUR 29 Mac - Kumpulan Kerja Bersama Proses Dialog Damai
yang dibentuk bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah keganasan di
wilayah Selatan Thai mencapai persetujuan muktamad dalam membentuk terma
rujukan kumpulan itu.
Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat kedua Kumpulan Kerja itu di
sini semalam yang dihadiri delegasi Thailand serta wakil-wakil Badan Revolusi
Nasional (BRN), kumpulan pemisah Islam di selatan Thailand.
Menurut kenyataan sekretariat kumpulan kerja itu yang dikeluarkan
di sini, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand, Leftenan
Jeneral Pharador Pattanatabut mengetuai delegasi Thailand manakala Ketua
Pejabat Perhubungan BRN di Malaysia, Hassan Taib mengetuai delegasi badan
tersebut.
Sementara bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan
Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim bertindak sebagai
fasilitator bagi pihak kerajaan Malaysia.
Pada 28 Februari lepas, satu Dokumen Konsensus Am, perjanjian untuk
membuka laluan bagi dialog proses damai di wilayah berkenaan ditandatangani
kedua-dua pihak terbabit, yang turut bersetuju mempelawa Malaysia menjadi
fasilitator untuk menggerakkan dialog itu.
Selain mengadakan pertemuan secara langsung, kedua-dua delegasi itu
turut berpeluang bertukar maklumat dan pandangan mengenai isu keganasan di
wilayah Selatan Thai secara telus dan terbuka, menurut kenyataan itu.
"Perbincangan juga tertumpu kepada mencari jalan penyelesaian
masalah keganasan, memberi kemudahan dalam menyelesaikan masalah dan mewujudkan
keadilan," katanya. Mesyuarat bersambung esok. - BERNAMA
ไม่มีความคิดเห็น:
แสดงความคิดเห็น